jump to navigation

Kita Bangsa Yang Selesa August 3, 2009

Posted by ibnukhair in Palestinaku, Puitis.
Tags: , ,
trackback

palestin

I

Kita bangsa yang selesa
Berselindung di sebalik agama
Membiarkan tersiksa saudara

Sesekali tersentak
Kita menukar jenama
Sedangkan dalam ruang selesa
Kita berganjak tiada
Bimbang tertumpah air muka.

Usai musim memulau jenama
Kita kembali berahi kepadanya

Antara fardhu ain dengan kifayah
Kita pilih bermain aksara
Telefon bimbit kejap dalam genggaman
Kerana yang menyanyi itu juga seagama.

Mengapa masih malu memulau hedonisme
Masih lagi menjadi hamba hawa nafsu
Terus alpa membenarkan eksperimen 5-S janaan mereka
Berjaya mengabui inti perjuangan sebenar

Sex!
Smoke!
School!
Sport!
Screen & Song!

Siapakah mangsa sebenar keadaan ini
Mereka yang berada di bumi Palestina
Ataukah kita yang lebih hina

Anak siapa mengandung sebelum akad
Anak siapa bibirnya berpuntung asap
Anak siapa ke sekolah tapi fikiran melayah
Anak siapa qiamullail bersama Manchester, Liverpool dan Chelsea
Anak siapa berbondong-bondong berpesta

Lebih kenal artis daripada ulama
Lebih hafal lirik daripada doa
Dengan ilmu sedalam lantai tempayan
Kita mencari munasabah melabuhkan sauh persoalan

Di situ bahtera karam
Lidah kalam tenggelam dalam
Sorak ketawa
Jenaka alpa

Justeru kita bangsa yang selesa
Gemar berselindung di sebalik agama.

savegaza2

II

Kita bangsa yang selesa
Masih berselindung di sebalik agama

Di sini
Bangga terhimpun di laman berkolam mini
Batu-batu tersusun indah memaknakan erti seni
Sedangkan batu yang serupa
Nilainya lebih berharga

Di sana
Menjadi peluru menghentam angkuh bangsa.
Pernahkah kita menafsir iktibar
Daripada derita sebuah bangsa
Bala yang tumpah ke atas Palestina
Peritnya melimpah ke pelusuk atma

Pun
Benarkah kita benar-benar percaya.
Sesekali peti hitam itu menayangkan sengsara
Simpati melaut mencecah pantai hati
Ataukah kita tak terpandang
Raungan ibu
Hiba ayah
Titis jernih anak-anak bermata bundar

Lalu segera mengalihkan berita derita
Rela menonton sebaris calon penyanyi hiba
Tidak cukup undi percaya
Dan kita pun sama berduka.

Sedangkan di bumimu, Palestina
Apakah masih ada harga air mata
Setelah setiap saat ia mengalir
Bersama darah pejuang
Bergaul debu petualang.

savegaza

III

Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
Enggan berselindung di sebalik agama
Iktibar daripadamu, Palestina
Adalah untuk kami dakap kejap pada jiwa

Bumi bertuah ini lebih empat ratus tahun
Pernah bertukar milik
Portugis, Belanda, Inggeris,
Jepun dan komunis
Kini Zionis!

Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
Enggan mudah percaya dengan apa yang ada
Kami gali kebenaran dari tanahmu
Kami hayati perjuangan syuhadamu
Kami tidak rela kiblat pertama itu
Menjadi harta bangsa penjarah darah saudaraku.

Ayuh,
Pinjamlah semangat Salahuddin Al-Ayyubi
Biar mengalir ke seluruh pembuluh tubuh ini
Kita rebut semula Baitul Muqaddas

Kerana setiap yang hak itu punya batas
Kita bukan mahu dendam berbalas
Kita mahu menjadi bangsa yang peduli

Berjuang!

Walau bukan dengan ketul-ketul kerikil
Dengan pena
Dengan doa
Dengan percaya
Bahawa kita bersaudara
Setiap kali bedilan singgah di laman rumahmu
Gegarnya terasa di anjung semenanjung.

Justeru
Kita bukan bangsa yang selesa
Tidak pernah berselindung di sebalik agama
Dengan agama jiwa nurani teguh
Dengan agama iman ini terpasak utuh.
Dengan agama kita gagalkan eksperimen durjana

Kita bina agama dan bangsa bermaruah
Membiarkan Ad-Din mengalir ke setiap pembuluh darah
Merapatkan peribadi dengan Rasulullah
Setiap satunya kembali kepada Allah.

Inna lillah

Wa inna ilaihi

Raji’un.

Nisah Haji Haron [http://annyss.blogspot.com/%5D

Ampangan – USM – Ampangan
1 – 5 Sya’ban 1430 H
23 – 27 Julai 2009

[dideklamasikan sajak ini sempena Malam Aspirasi Seni ‘Bersamamu Palestin’ anjuran ISMA Seremban 1 Ogos 2009]

Advertisements

Comments»

1. Nisah Haron - August 3, 2009

Salam adindaku,
Terima kasih kerana sempat memuat naik sajak tersebut di sini. Saya sendiri belum berkesempatan untuk berbuat demikian. Saya tidak mengharapkan sanjungan setelah menulis dan mendeklamasi sajak ini. Harapan utama saya ialah iktibar dan mesejnya mudah-mudahan dapat diterima dan dilaksanakan oleh kita semua, insya-Allah.

2. ibnukhair - August 3, 2009

Salamun’alaik Acik Nisah…

Sejujurnya, pena tajam yang merobek ego hati dan menerjah dalam ke kotak minda seharusnya diletak sebaris dengan mata pedang yang mengilau tajam…

Muga Allah terus hadirkan kelapangan masa dan limpahan idea kritis buat menggegar hati bangsa yang terbuai lena.

Barakillahu feek!!

SKKR


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: