jump to navigation

Bayi Tua, Transisi Kehidupan dan Satu Peringatan .. February 4, 2010

Posted by ibnukhair in Jalan Da'wah, Sketsa Kehidupan.
Tags: , , , ,
trackback

Alangkah ruginya. Episod memoir kehidupan yang berlalu tanpa bisa dititipkan buat renungan bersama. 22 Januari senantiasa membugar keinsafan. Perihal seorang bayi yang semakin menua. Mujur uban belum mahu berputik. Tarikh itu tahun ini saya sekeluarga berkesempatan mengadakan aqiqah anak kedua, Uswah Khairah. Majlis aqiqah dan juga sedikit kenduri kesyukuran kecil-kecilan. Syukur kerana Allah masih sudi meminjamkan nyawa. Syukur juga kerana Allah senantiasa menunjuk jalan yang cerah buat kami sekeluarga.

Sebahagian Hadirin Aqiqah Uswah Khairah

Kesempatan itu saya gunakan sepenuhnya untuk mengajak jiran tetangga dan ahli qariah menghayati semangat kejiranan yang mungkinnya semakin dipinggirkan. Ustadz Rahmat membuat sentuhan klasiknya dengan bait  khatirah dan pengisian, memulakan majlis dengan sedikit nada kelainan. Jualan untuk Palestin turut menyerikan majlis. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar walaupun seperti kebiasaannya saya ditegur oleh emak di kampung kerana sikap kerja last-minute. Barangkali “suprise” adalah pilihan kata yang lebih tepat 🙂

Ahadnya, saya berkesempatan memberikan sedikit perkongsian buat adik-adik dari UNITEN yang bertandang ziarah dengan pasukan bola serba merahnya. Baru sudah beriadhah di Bukit Serindit ditambah pemerhatian tentang guna putar kehidupan, saya celoteh perihal bayi tua.

Sedar tidak sedar, kita seolahnya mengiyakan bahawa kebanyakan perbuatan dan perlakuan yang baik dan bermanfaat hanya termampu dilaksana tatkala usia menjenguk status keemasan. Di Taman Rekreasi Bukit Serindit seumpanya, sepanjang langkahan larian pemanas badan, saya kira unjuran mereka yang sudah berumur boleh dikatakan 85%. Ada yang tercungap mengatur nafas selepas beberapa langkah. Ada juga yang cuba berjinak dengan kuntau, tai-chi dan seumpamanya. Simpulnya, jarang sekali dilihat kelibat orang muda menagih simpati angin pagi. Jika merenung ke arah surau dan masjid, pastinya fenomena ini lebih jelas kedapatan. Pakcik dan tok lebai yang ratanya melepasi usia separuh abad mendominasi isi surau. Soal saya, di mana barisan pemudanya?

Ar-Rafai’e menyelar mereka yang tiada bermanfaat pada isi dunia dengan pilihan kata yang agak keras

“Kiranya kamu hidup di dunia ini tidak mampu menyumbang apa-apa. Maka tinggalkanlah dunia ini.”

Mengapa Allah jadikan kepemudaan sebagai satu fasa dalam transisi penuh kehidupan? Kan telah kita lihat ramainya  dari kita ini hanya memanfaatkan tujuan hidup tatkala usia menjenguk pintu kematian. Mungkinkah lebih baik Allah lahirkan bayi yang sudah berjambang dan berjanggut, yang kulitnya penuh kedut. Barangkali dengan itu, seluruh hidup mereka akan terus memusat ke arah menyumbang guna seluruh kehidupan mereka ke arah kemaslahatan ummah.

Justeru, menjadi satu pengajaran bagi kita yang sedang atau bakal mengisi fasa ini agar mengetahui ruang kekuatan kepemudaan yang bisa diolah sebaik mungkin. Alangkah ruginya kiranya kita tidak dapat menggunakan fasa yang diibarat kekuatan antara 2 kelemahan ini dengan perkara yang mengangkat martabat ummat. Sebaliknya, ramai di antara kita hanya  melihat ianya sebagai satu peluang mengisi poket duniawi, menebalkan tahi mata dan terlebih keji membiarkan ia berlalu tanpa apa-apa manfaat.

Hadirin Konvensyen Pemikiran Hasan al-Banna

Banyak juga perkara lain yang berlaku. Konvensyen Pemikiran Hasan al-Banna contohnya. KoBanna yang baru sudah berlalu memungkinkan sahutan kepada seruan guna pakai kepemudaan yang saya bincangkan. Kelibat ribuan belia yang beriltizam dengan proses islah diri menampakkan sedikit bayangan gembira. Namun di sebalik semua itu, saya tersentak dengan berita kemalangan sahabat yang saya kasihi sepulangnya dari KoBanna. Berita lanjut mereka di sini.

Baru siang harinya saya berkongsi perkembangan terkini setelah lebih 2 tahun tidak bersua muka. Bertukar salam ukhuwah dan senyum gembira. Malamnya wajah itu bertukar hiba. Ada yang sedikit berparut. Alhamdulillah, semuanya selamat. Peluang kedua yang serba menginsafkan. Peringatan buat mereka yang masih hidup. Lebih menyebakkan mereka ini pemuda yang komited dengan dunia tarbiyyah dan dekat di hati saya secara jujurnya. Saat pertama kali ketemu mereka sepulangnya dari tanah tarbiyah Australasia, mereka tandang berjaulah dan menginap di rumah saya. Do’a saya agar Allah cepatkan mereka sembuh dari segala kecederaan yang dialami dan bangkit menjadi pejuang yang lebih gah!

Muga hari ke hari yang mendatang menjanjikan transisi kehidupan yang lebih bermakna. Buat saya dan diri kalian hendaknya.

Salam Jumaat,
AbuKhairah,
BBU 37.

Advertisements

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: